Senarai calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada pilihan
raya umum ke-13 (PRU-13) hampir siap dengan sedikit sebanyak perubahan
mungkin dilakukan sebelum diumumkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak.
Beliau berkata, perubahan mungkin dibuat untuk memastikan calon yang dipilih itu adalah yang terbaik dan boleh menang.
"Senarai calon ini bila tiap-tiap kali kita tengok, kita nak buat
perubahan tetapi mungkin tiada masa lagi... kita semak, belek-belek dan
terfikir mungkin ada calon yang lebih baik.
"Saya rasa proses itu sampai saat kita umum nanti mungkin ada sedikit
sebanyak perubahan, tetapi asasnya sudah ada, kebanyakan kawasan telah
kita putuskan, sesiapa yang dikategorikan sebagai winnable candidate
(calon boleh menang) akan kita calonkan sebagai calon," katanya dalam
program Conversation With The PM yang disiarkan di TV3 di sini Selasa malam.
Najib berkata BN juga akan menentukan pembahagian calon yang sebaik
mungkin di kalangan parti komponennya agar calon tersebut diterima oleh
masyarakat tempatan dan mencerminkan kehendak rakyat.
"Kita juga ada pertimbangan berdasarkan kepada parti komponen kita sebab
kita keluarga besar, 13 buah parti jadi kita kena tentukan pembahagian
yang difikirkan mencerminkan komposisi keluarga BN.
"Maka, tidak semestinya kita dapat memenuhi harapan dan tuntutan semua
pihak di peringkat kawasan tetapi kita akan cuba menentukan calon yang
sebaik mungkin," katanya.
Menjawab soalan daripada seorang pembaca akhbar The New Straits Times
mengenai pembaharuan proses pilihan raya, Najib berkata kerajaan komited
untuk mengukuhkan proses pilihan raya dan menegaskan bahawa pilihan
raya di Malaysia sentiasa dijalankan secara adil dan bebas.
"Jika pilihan raya tidak dijalankan sedemikian rupa, kita mungkin tidak
hilang dua pertiga majoriti dan hilang lima negeri pada pilihan raya
umum 2008.
Kelantan tidak akan diperintah pembangkang lebih daripada 20 tahun," katanya.
Najib berkata kerajaan juga mempertimbang beberapa tuntutan daripada
pelbagai kumpulan seperti Bersih dan kebanyakan daripada tuntutan itu
telahpun dipenuhi.
"Buat pertama kali, kita akan memperkenalkan penggunaan dakwat kekal
dalam pilihan raya akan datang dan buat pertama kali juga, rakyat
Malaysia yang tinggal di seberang laut juga dibenarkan untuk mengundi,"
katanya. BERNAMA
No comments:
Post a Comment